Tiada insiden himpit menghimpit, kontinjen berbasikal Terengganu terus rentak cemerlang

TAIPING: Kontroversi yang melanda acara berbasikal lebuhraya temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2018) yang melibatkan pelumba negeri Johor, Nurfitri Ammar Rusli dan pelumba Terengganu, Shahmir Aiman Abdul Halim bukan disengajakan.

Kemalangan melibatkan 2 pelumba ini 100 meter menuju ke garisan penamat menjadi buah mulut netizen yang rata-rata mengatakan Nurfitri Ammar menyebabkan kemalangan dengan sengaja ketika aksi Lumba Lebuhraya yang berlangsung pada 13 September lalu di Taiping, Perak.

“Kemalangan yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal menyebabkan tayar belakang saya tergelincir ke kiri dan saya cuba mengawal ke kanan. Malangnya Shahmir Aiman berada disebelah kanan menyebabkan pelanggaran berlaku,” kata Ammar ketika ditemui selepas tamat acara kriterium.

Bagi Shahmir Aiman, beliau mengangap perkara ini tiada unsur-unsur tidak baik dan tidak perlu diperbesarkan.

“Tiada himpit menghimpit berlaku! Lagi pun kami pernah berlumba sebagai satu pasukan ketika Jelajah Eropah Junior Cycling Malaysia (JCM) 2017 selama 1 bulan. Saya kenal Ammar macam mana,” ujar pelumba berusia 18 tahun tersebut.

Dalam pada itu, kontijen berbasikal Terengganu yang dibimbing oleh Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan terus cemerlang menyumbang pingat menerusi acara kriterium Lelaki dan Wanita.

Nur Aisyah Mohd Zubir berjaya meraih pingat emas selepas mengumpul 36 mata diikuti rakan sepasukannya, Ezzatie Fifiyana Syazwanie Shaiful Hisham rangkul pingat perak dengan 21 mata manakala gangsa milik Nur Azrenna Ahmad Jumry(Sarawak) dengan 14 mata.

Pingat emas bagi kategori pula disumbangkan oleh Wan Abdul Rahman dengan 38 mata dan pingat perak pula milik rakan sepasukan, Zuladri Amin Zulkarnain dengan 25 mata manakala gangsa milik pelumba Selangor, Muhammad Fitri Saharil.

 

Artikel berkaitan

Leave a Reply