Tewas 0-1 kepada Thailand, Malaysia tetap ke separuh akhir Piala AFF B-18

KUALA LUMPUR: Skuad remaja kebangsaan terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila hampir gagal ke peringkat separuh akhir Kejuaraan AFF Bawah 18 tahun (B-18) selepas tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B di Ho Chi Minh, sebentar tadi.

Malaysia yang sekadar memerlukan keputusan seri dalam pertemuan dengan Thailand perlu berterima kasih kepada Kemboja setelah pasukan itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Vietnam sekali gus membuka ruang kepada Malaysia untuk mengiringi Australia ke perlawanan separuh akhir.

Turun selaku juara bertahan, pasukan kebangsaan dilihat tidak mempamerkan sebenar dan keletihan jelas terpancar apabila sering diasak Thailand dalam babak pertama.

Thailand mula memberi ancaman pada minit ke-18 namun kawalan kurang kemas Thirapak Prueangna menyaksikan bola diselamatkan penjaga gol negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil sebelum percubaan susulan Kritsada Nontharat meliar.

Pemain tengah negara, Firdaus Kaironnisam hampir menghadiahkan gol pertama perlawanan pada minit ke-34 namun rembatan dalam kotak penalti berjaya dikawal penjaga gol Thailand, Thirawooth Srunson.

Tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung, hantaran lintang penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin yang terkena pertahanan lawan sekadar menggegar palang gol.

Gawang negara akhirnya bolos apabila pemain gantian, Sitthinan Rungrueang memanfaatkan kesilapan penjaga gol negara, Firdaus Iman Mohd. Fadhil pada minit ke-69.

Anak-anak buah Brad Maloney dijadualkan bertemu juara Kumpulan A, Indonesia dalam perlawanan separuh akhir pada 17 Ogos manakala juara Kumpulan A, Australia berdepan Myanmar pada hari yang sama.

 

KEDUDUKAN AKHIR PERINGKAT KUMPULAN PIALA AFF B-18 2019, HO CHI MINH CITY, VIETNAM

Kumpulan A

P M S K G B PG M
INDONESIA 5 4 1 0 20 4 16 13
MYANMAR 5 4 1 0 11 3 8 13
Laos 5 3 0 2 8 5 3 9
Timor-Leste 5 2 0 3 12 13 -1 6
Filipina 5 1 0 4 8 18 -10 3
Brunei DS 5 0 0 5 4 20 -16 0

Kumpulan B

P M S K G B PG M
AUSTRALIA 5 4 0 1 17 6 11 12
MALAYSIA 5 3 0 2 9 3 6 9
Vietnam 5 2 1 2 6 6 0 7
Kemboja 5 2 0 3 7 13 -6 6
Thailand 5 1 2 2 6 8 -2 5
Singapura 5 1 1 3 3 12 -9 4

KEPUTUSAN MALAYSIA DI PERINGKAT KUMPULAN PIALA AFF B-18 2019, HO CHI MINH CITY, VIETNAM

7 Ogos: Vietnam 1-0 Malaysia
9 Ogos: Malaysia 3-1 Singapura
11 Ogos: Malaysia 3-0 Kemboja
13 Ogos: Australia 0-3 Malaysia
15 Ogos: Malaysia 0-1 Thailand

Artikel berkaitan

Leave a Reply