Shah Alam Antlers julang trofi Klang Valley Super League

SHAH ALAM: Biarpun baru ditubuhkan 7 bulan lepas, Shah Alam Antlers FC berjaya muncul juara Klang Valley Super League musim 2016/2017 – liga yang disertai oleh 16 pasukan amatur terbaik seluruh Selangor. Paling membanggakan kejayaan tersebut turut dicapai tanpa sebarang kekalahan dalam kesemua perlawanan liga.

Bermula dengan keputusan seri 1-1 menentang Ingress Tigers dalam perlawanan pembukaan liga, Shah Alam Antlers kemudiannya mencatatkan 14 kemenangan berturut-turut untuk mengetepikan cabaran pencabar terdekat – juga merupakan juara bertahan liga – Terrapins.

Kejuaraan Shah Alam Antlers menjadi sah selepas mereka menewaskan Sunway University dengan jaringan 1-0 pada 25 Mac 2017 lepas. Kemenangan tersebut bermakna perlawanan terakhir liga menentang Terrapins pada hari semalam hanya sekadar perlawanan pelengkap jadual. Dalam perlawanan menentang Terrapins semalam, Shah Alam Antlers menewaskan bekas juara liga tersebut 3-1.

Ketinggalan 0-1 seawal minit ke-2 selepas kelekaan benteng pertahanan Shah Alam Antlers menghadiahkan gol buat penyerang Terrapins, Razzmir, pasukan tuan rumah bagaikan kemudiannya menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Usaha mereka membuahkan hasil apabila Sathiskumar Krishnan menyamakan kedudukan pada minit ke-11 hasil situasi kelam-kabut di kotak penalti Terrapins yang berpunca daripada sepakan sudut Jason Lim.

Terikat 1-1, ketua jurulatih Shah Alam Antlers, G. Muthu memasukkan Kumaran Vijayan untuk menggantikan Kosoko Jeff yang tidak efektif. Pertukaran ini membuahkan hasil. Pada minit ke-28, Firdaus Selvam memanfaatkan kesilapan pertahanan tengah Terrapins untuk menjaringkan gol kedua pasukannya.

Ketika separuh masa kedua tinggal 8 minit, Kumaran membalas kepercayaan ketua jurulatihnya dengan menjaringkan gol cantik hasil hantaran bijak Mohamad Naim. Tamat perlawanan, Shah Alam Antlers menang 3-1 dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga.

Trofi kejuaraan disampaikan oleh Pengarah Urusan Kaki Jersi, En. Zharif Ghazali dalam satu majlis penyampaian trofi dan anugerah liga selepas perlawanan. Anugerah penjaring terbanyak liga menjadi milik penyerang Ingress Tiger kelahiran Amerika Syarikat, Andrew Lorei. Manakala anugerah pemain terbaik liga menjadi milik pemain tengah Shah Alam Antlers, Amares Singh.

Artikel berkaitan

Leave a Reply