Sepak mula LBR musim kedua diwarnai 98 gol

KUALA LUMPUR: Sepak mula Liga Bolasepak Rakyat (LBR) musim kedua rancak seluruh negara hujung minggu lalu, dengan 98 gol dicetak menerusi saingan dalam tujuh zon.

Dalam Zon Timur (Kelantan dan Terengganu) yang umumnya diadakan pada Jumaat, 20 gol dihasilkan dalam perlawanan membabitkan 12 pasukan yang diwarnai kejutan, termasuk pasukan pilihan yang kecundang.

Zon Barat yang disertai pasukan dari Perak dan Pulau Pinang mengumpul 21 gol, diikuti saingan dalam Zon Borneo (Sarawak) yang mencetak 17 jaringan.

Tumpuan pastinya terarah pada perlawanan Zon Timur di Padang SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas apabila tuan rumah, Rantau Panjang melaungkan amaran awal dengan kemenangan besar 4-0 mengatasi Hulu Terengganu.

Pengendali Rantau Panjang, Juha Ismail, menyifatkan kemenangan 4-0 ke atas Hulu Terengganu sebagai satu permulaan memberangsangkan buat pasukannya mengharungi saingan Kumpulan 2.

“Pemain menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menang. Meskipun separuh masa pertama permainan agak seimbang, kami berjaya mendahului lawan menerusi bekas pemain Kelantan, Mohd Zamri (Ramli) pada minit ke-28.

“Separuh masa kedua, kedua-dua mempamerkan permainan agak pantas tetapi percaturan kami membawa masuk Zulhilmi (Awang) memberi impak besar sehingga berjaya menambah tiga gol lagi.

“Kemenangan ini pastinya akan melonjakkan semangat barisan pemain dan kami mengharapkan momentum ini akan diteruskan pada perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam perlawanan Kumpulan 3 zon sama di SMK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan, Machang mengutip tiga mata penuh apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas Tanah Merah.

Jurulatih Machang, Abdul Rahim Ahmad, berkata kemenangan dilakar hasil kerja keras anak buahnya.

“Pemain menunjukkan komitmen tinggi pada perlawanan ini dan seperti saya beritahu sebelum ini, memang kami pergi ke sana (Tanah Merah) dengan keyakinan tinggi untuk menang.

“Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan kemenangan ini walaupun kami sepatutnya menang lebih daripada tiga gol. Tetapi saya faham, ini adalah aksi pertama dan semua pasukan sedang mencari rentak permainan masing-masing,” katanya.

Perlawanan pertama sebagai simbolik sepak mula di antara Kuching dan Sri Aman dimenangi Kuching yang juga juara bertahan dengan keputusan 2-0 pada 24 September lalu.

Naib juara musim lalu, Padang Besar, kini diwakili oleh UiTM Arau, terikat 1-1 dengan Yan dalam Zon Utara, manakala Arau yang kini diwakili oleh UniMAP menang tipis 2-1 ke atas Kota Setar.

Sebanyak 109 pasukan bersaing di peringkat zon musim ini mengikut lapan zon. Satu-satunya zon yang belum membuat sepak mula ialah Zon Tengah 2 membabitkan 14 pasukan.

Yang menarik musim kedua LBR menyediakan dua set jersi untuk setiap pasukan yang bertanding, dengan tema jersi mengikut zon.

Artikel berkaitan

Leave a Reply