Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman & Program Pembangunan Bola Sepak Negara meterai perjanjian persefahaman

PUTRAJAYA: Satu lagi langkah ke hadapan di ambil oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berpadu tenaga membangunkan bola sepak negara dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara KFA & PPBN yang berlangsung hari ini di Menara Kementerian Belia & Sukan, Putrajaya.

Menteri Belia & Sukan ,YB Khairy Jamaluddin menyatakan kegembiraannya apabila KFA menjadi persatuan pertama yang memeterai perjanjian persefahaman bersama PPBN.

“Semenjak tahun 2015, PPBN telah pun menawarkan sebarang bentuk kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bernaung di bawah FAM untuk menyelaraskan semua inisiatif pembangunan bola sepak di negeri masing-masing. Saya amat gembira hari ini kerana KFA di bawah naungan YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah menjadi persatuan pertama yang membuat sedemikian”, ujar beliau.

Majlis hari ini juga turut menyaksikan logo Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB) diperkenalkan kepada para hadirin dan pihak media.

Tambah Khairy:

“KFA bukan sahaja menjadi persatuan yang pertama, malah telah meletakkan nama seorang lagenda pembangunan bola sepak negeri Kedah Darulaman di tempat yang sepatutnya. Semua amat maklum jasa Allahyarham Dato Ahmad Basri Mohd Akil adalah cukup besar bukan sahaja di Kedah, malah di persada bola sepak negara.”

Kerjasama yang termeterai hari ini mengiktiraf sistem PPBN di Kedah sebagai Unit Pembangunan Bola Sepak KFA, menamakan program bola sepak Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah sebagai ADAB iaitu Akademi Elit Remaja KFA untuk remaja berumur antara 13-17 tahun, sekaligus mengangkat KFA dan ADAB sebagai Rakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara. Turut terlibat ialah penyelarasan pusat-pusat PPBN di Kedah di dalam struktur pembangunan bola sepak KFA.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan, Dato’ Lokman Hakim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan barisan tertinggi jawatankuasa KFA.

 

 

Artikel berkaitan

Leave a Reply