Perak, Kedah berentap rebut kejuaraan ‘Unity Shield’

IPOH: Kedua-dua finalis Piala FA musim lalu, Perak dan Kedah akan berentap di Stadium Perak, Ipoh pada 15 Februari 2020 (Sabtu), jam 9 malam bagi merebut perisai ‘Unity Shield’ yang kini memasuki penganjuran kali kedua.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tuan Haji Mohamad Azlin Mohd Nadzri dalam sidang media pengumuman penganjuran ‘Unity Shield’ di ibu pejabat PAFA, Ipoh sebentar tadi.

Menurut beliau, penganjuran ‘Unity Shield’ merupakan simbol persahabatan dan hubungan akrab di antara dua persatuan bola sepak iaitu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan PAFA.

“Hubungan antara pasukan Kedah dan Perak merupakan satu hubungan yang istimewa. Semenjak tahun lepas, kedua-dua pasukan telah membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan ini pada setiap tahun sebelum bermulanya Liga Malaysia sebagai satu perlawanan pemanas badan yang kompetitif.

“Perlawanan ini juga merupakan medan penyatuan peminat negeri Perak dan Kedah, dan akan memberi peluang kepada mereka untuk melihat perkembangan skuad terkini Perak.”

Selain itu, sebahagian daripada hasil kutipan tiket yang berjaya diraih pada perlawanan tersebut juga akan digunakan bagi membantu bekas-bekas pemain yang pernah beraksi untuk skuad The Bos Gaurus.

“Pihak PAFA telah mengenalpasti beberapa bekas pemain Perak yang ingin kami bantu meringankan beban mereka dan akan menerima manfaat daripada hasil kutipan tiket pada hari perlawanan. Sumbangan ini juga merupakan kesinambungan daripada penganjuran tahun lepas dan merupakan salah satu objektif penganjuran yang telah ditetapkan”, tambah Mohamad Azlin.

Perisai kejuaraan ‘Unity Shield’ ditempah khas daripada Royal Selangor Pewter Factory, dan dianjurkan secara tahunan secara bergilir-gilir di Alor Setar dan Ipoh.

Bagi format perlawanan, 90 minit penuh akan dilangsungkan dengan tiada had pertukaran pemain. Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat selepas tamat aksi 90 minit, perlawanan akan dibawa ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan juara ‘Unity Shield’.

Pada tahun lepas, Kedah muncul juara edisi sulung kejuaraan selepas menumpaskan Perak 2- 0, hasil jaringan Fernando Rodriquez dan Syahrul Azwari di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiket perlawanan akan dijual pada pada hari perlawanan dengan kadar RM10 (teres terbuka) dan RM5 (kanak-kanak).

Artikel berkaitan

Leave a Reply