Pearly dan Thinaah sedia lakar kejutan

Pearly (kiri) dan Thinaah tekad melakar kejutan pada penampilan di Perodua Malaysia Master 2020.

KEJOHANAN Badminton Perodua Malaysia Master 2020 bakal dijadikan pentas buat gandingan beregu perempuan negara, Pearly Tan Koong Le – M Thinaah untuk memperagakan kemampuan dan melakar keputusan positif.

Kali pertama menyertai kejohanan bertaraf Super 500 yang bakal diadakan di Stadium Axiata Arena pada 7 hingga 12 Januari tahun depan, Pearly dan Thinaah akan memulakan saingan dalam pusingan kelayakan berdepan gandingan dari Denmark, Alexandra Boje – MettePoulsen.

Jika menang, Pearly – Thinaah akan beraksi di pusingan pertama undian utama dan dijangka berdepan pemenang satu lagi pusingan kelayakan diantara rakan sepasukan, Anna Ching Yik Cheong – Lim Chiew Sen dan bergu dari Indonesia, Anggia Shitta Awanda – Pia Zebadiah Bernadet.

Bagi, Thinaah, walaupun masih mencari rentak menyesuaikan diri dalam acara beregu, komunikasi yang baik akan membantunya dalam merencana strategi ketika berdepan lawan.

“Masih baru dalam acara bergu selepas beralih daripada perseorangan, kami merasai pelbagai pengalaman samada baik atau sebaliknya. Apa yang penting adalah berbincang dan membentuk komunikasi yang lebih baik di antara kami berdua selepas tamat perlawanan.

“Tahun 2020, kami akan cuba memberi fokus terhadap satu perlawanan demi satu perlawanan dan mempertingkatkan lagi ranking untuk beraksi di kejohanan lebih tinggi,” tegas pemain berusia21 tahun itu.

Bagi Pearly pula yang juga naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2018 dalam acara bergu wanita yakin, barisan kejurulatihan punya perancangan untuknya dan M Thinaah sebelum turun ke gelanggang di Arena Axiata bagi mengharungi pusingan kelayakan.

“Kami memenangi dua gelaran juara di peringkat Cabaran Antarabangsa (International Challenge) dan Siri Antarabangsa (International Series). Ianya permulaan yang baik dan saya berharap 2020 kami akan meraih lebih banyak gelaran di kejohanan yang lebih tinggi seperti Super 100,” ujarnya yang kini berusia 19 tahun.

Andai berpeluang untuk mara ke undian utama, Pearly tidak akan member ruang kepada sesiapa sahaja termasuk gandingan-gandingan utama seperti pilihan kelapan GreysiaPolii – Apriyani Rahayu dari Indonesia atau Mayu Matsumoto – Wakana Nagahara yang diletak selaku pilihan ketiga dari Jepun.

Pearly dan Thinaah merangkul trofi pertama di Victor Malaysia International Series yang berlangsung di Ipoh, Perak pada Jun disusuli menaiki podium selaku naib juara Sydney International 2019 pada penghujung September.

Prestasi bergu negara ini semakin menyerlah apabila muncul juara di Infosys Foundation – India International Challenge 2019 pada November sebelum menutup kalendar 2019 dengan gelaran juara ketiga selepas mengungguli Yonex Sunrise Bangladesh International Challenge 2019 pada pertengahan Disember.

Malaysia Masters 2020 dijadual berlangsung dari 7 hingga 12 Januari merupakan kejohanan berstatus Super 500 oleh Pesekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai kira-kira RM1.6 juta.

 

Artikel berkaitan

Leave a Reply