Pahang Rangers, Levante jalin kerjasama

Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam (tengah) yakin MoU in i akan meningkatkan persembahan Pahang Rangers.

PASUKAN futsal Pahang, Pahang Rangers akan menjalankan kerjasama dengan kelab terkemuka Sepanyol, Levante  bagi meningkatkaan mutu permainan pasukan berkenaan.

Presiden kelab, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkata, majlis menandatangani memorandum persefahamanan (MOU) berkenaan akan diadakan di Putrajaya, Kuala Lumpur.

“MoU ini adalah bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pasukan selain penting dalam memperbaiki persembahan skuad Pahang Rangers dalam usaha menjadi sebuah kelab yang kuat di Asean dan Asia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap Satu di Indera Mahkota, baru-baru ini.

Kursus selama enam hari itu dianjurkan oleh Pahang Rangers dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan disertai 20 orang jurulatih dari seluruh negara.

Difahamkan majlis MoU tersebut akan diadakan esok di Putrajaya dan untuk rekod Pahang Rangers merupakan naib juara MPFL 2019 dan baru-baru ini telah menandatangani khidmat jurulatih dari Sepanyol, Gerard Casas untuk mengharungi musim 2020.

Beliau berkata, selepas MoU itu, pihaknya akan menghantar pemain dan jurulatih ke Sepanyol untuk menjalani sesi latihan bersama pasukan itu selain membawa jurulatih kelab dunia itu ke sini.

“Selain kelab Levante, kita juga akan menjalinkan kerjasama dengan kelab futsal Chonburi Blue Wave yang terkenal di Thailand pada Februari depan. Sebelum ini kita sudah pun menghantar dua pemain Pahang Rangers untuk berlatih selama empat minggu bersama kelab itu tahun lalu.

“Dengan termeteranya MOU antara Pahang Rangers dan kelab Chonburi ini kelak, kita akan menyaksikan lebih banyak kerjasama diadakan antara kedua-dua kelab,” katanya yang dipetik menerusi Pahang Media.

Artikel berkaitan

Leave a Reply