Lipis optimis pertemuan menentang Batu di Bangi

KUALA LUMPUR: Klang membuktikan mereka bernafsu besar dengan berpesta gol membelasah Titiwangsa 8-1 minggu lalu namun tumpuan berpusat ke Lipis yang memburu keputusan positif apabila menentang Batu dalam aksi Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Zon Tengah, Sabtu.

Tanpa aksi Klang yang berehat minggu ini, pengendali Lipis FA, Shahril Faizal Ahmad Shariffudin, yang juga bekas bek tengah kebangsaan, percaya anak buahnya mampu membawa pulang keputusan positif dari perhitungan Kumpulan 2 Zon Tengah 1 di Padang A Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Jelasnya, keputusan seri yang dicatat ketika berdepan Bandar Tun Razak minggu lalu secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada barisan pemain untuk terus bersaing.

“Beraksi di tempat lawan bukanlah tugas mudah sebagaimana apa yang berlaku minggu lalu, namun berdasarkan perlawanan minggu lalu tidak mustahil kami mampu mencuri mata atau memenangi perlawanan tersebut.

“Pemain kini berada dalam keadaan terbaik untuk diturunkan beraksi esok dan percaya mereka akan memperbaiki beberapa kelemahan yang telah diperhalusi sebelum ini.

“Bagi saya tidak mustahil kita mampu membawa pulang tiga mata dan inilah fokus utama pada aksi esok,” jelasnya.

Mengulas corak permainan yang bakal disajikan, Shahril menganggap corak permainan terbuka namun tetap waspada akan diberikan keutamaan pada aksi tersebut.

“Beberapa perubahan akan dilakukan namun tidak ketara, bagi saya pertahanan perlu lebih kemas dan tengah proaktif mencipta gerakan memburu gol yang pastinya memberi tekanan kepada lawan,” katanya.

Sementara itu, bagi aksi Zon Barat Kumpulan 1, tumpuan pastinya terarah pada pertembungan di antara Timur Laut Baru menanti kunjungan Tanjung Malim di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Bagi ketua jurulatih Tanjung Malim, Khairuddin Abdul Majid, anak didiknya perlu segera melupakan kemengan 4-0 ke atas Batang Padang dan memberikan tumpuan sepenuhnya beraksi menentang Timur Laut Baru.

“Pemain perlu fokus dan lupakan kemenangan lalu, sasaran kini aksi kedua di tempat lawan dan ia bukannya tugas mudah dengan beberapa pemain utama tidak dapat beraksi disebabkan masalah kecederaan.

“Namun kami tetap memperagakan corak permainan menyerang memburu gol dan bukannya bertahan. Semangat juang tinggi, taktikal menyerang yang berkesan dan pertahanan mantap akan memberikan keputusan positif,” katanya.

Dalam saingan Zon Timur semalam, Gua Musang dan Pasir Puteh terikat 1-1. Keputusan yang sama dilakar Kuala Nerus yang berkongsi mata dengan Pasir Mas. Dalam Kumpulan 2, Bachok seri 2-2 dengan Kota Bharu manakala Rantau Panjang menewaskan Besut 2-0.

Dalam Kumpulan 3, Jeli menewaskan Machang 2-0 manakala Setiu menang tipis 4-3 ke atas Tanah Merah.

Terdahulu pada saingan minggu lalu, Klang mengganas dengan lapan gol yang dijaringkan oleh lapan pemain berbeza – Ibn Hisyam Mazri, Farees Ismail, M. Logithasan, S Pavithran, Zairul Safri Zulkifli, Nazren Faizal dan Fakrul Anuar – ketika Titiwangsa bungkam di Shah Alam,

Artikel berkaitan

Leave a Reply