Liga M3 ubati kerinduan Hafiz

BEKAS pemain kebangsaan, Hafiz Kamal mahu mengubati kerinduan beraksi sebagai pemain utama bersama pasukan Liga M3, Kuala Lumpur Rovers dengan misi untuk untuk membawa pasukan itu ke Liga Premier, musim depan.

Selepas bergelut dengan kecederaan serius di bahagian lutut kiri selama satu tahun setengah sejak 2017, prestasi Hafiz tidak menentu dan hanya beberapa kali sahaja beraksi sebagai pemain gantian pada musim lalu ketika bersama PKNP FC.

Justeru, keputusan bekas pemain Pahang, Selangor dan Perak ini untuk mencuba nasib bersama pasukan M3 musim ini dilihat tepat untuk menghidupkan kembali kariernya.

Tambah Hafiz, dia tidak pernah memperkecilkan kemampuan pasukan-pasukan Liga M3 sambil menyifatkan pasukan amatur ini sentiasa menjadi buruan pemain untuk kembali mencipta nama.

“Sebenarnya saya ambil keputusan untuk bermain bersama KL Rovers untuk mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama kerana tahun lepas saya jarang beraksi.

“Di sini, saya harap dapat memperbaiki corak permainan saya dan memang sasaran saya untuk bantu pasukan layak ke Liga Premier nanti.

“Bagi saya, Liga M3 tetap ada nilai yang tersendiri kerana walaupun sebelum ini saya pernah bersama pasukan hebat di Liga Super dan Premier, tetapi Liga M3 boleh dilihat tetap menjadi rebutan pemain-pemain muda dan pemain senior lain juga”, katanya.

Hafiz akan menampilkan aksi pertamanya dalam pusingan kelayakan Piala FA 2020 pada Ahad ini apabila KL Rovers bakal menentang pasukan Klasiko FC untuk merebut slot ke pusingan pertama.

Sementara itu, Klasiko FC ingin lebih berwaspada terhadap pasukan yang kali pertama terlibat dalam pentas Piala FA ini apabila lawan mereka itu ghairah mengikat pemain-pemain berpengalaman seperti Hafiz, bekas import Melaka United, Sergio Fabian Ezequiel Aguero dan Davy Claude Angan.

Menurut pengurus pasukannya, Khairil Anuar, mereka tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan KL Rovers dan perancangan terbaik perlu dilakukan untuk memastikan pasukan mampu mara sekurang-kurangnya ke pusingan ketiga dengan harapan mampu bertemu dengan pasukan hebat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

“Sebenarnya perlawanan pada Ahad ini sukar bagi kami kerana KL Rovers dilihat cukup bersemangat dan bersedia dengan dibarisi pemain-pemain hebat seperti Hafiz, Aguero dan ramai lagi.

“Jadi, kami perlu melakukan persiapan rapi untuk menentang mereka kerana ini pusingan kalah mati dan macam-macam boleh berlaku.

“Sudah pasti, kami ingin mara sehingga ke pusingan ketiga kerana itulah peluang untuk kami berentap dengan pasukan seperti JDT dan Selangor di mana ia pastinya akan menjadi pengalaman sangat berharga buat pasukan kecil seperti kami”, jelasnya.

Aksi pusingan kelayakan Piala FA Malaysia 2020 akan bermula pada harı Sabtu dan Ahad ini dengan menampilkan sebanyak 30 pasukan akan berentap untuk melayakkan diri ke pusingan pertama.

Artikel berkaitan

Leave a Reply