LBR terus rancak, strim secara langsung di Youtube diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Bukan mudah memenuhi citarasa penyokong Liga Bolasepak Rakyat (LBR) yang sentiasa dahagakan maklumat dan berita terkini merangkumi aktiviti 108 pasukan dari tujuh zon berlainan seluruh negara namun inisiatif terbaharu daripada penganjur harus sedikit sebanyak membawa dimensi berbeza.

Beberapa perlawanan terpilih LBR akan disiarkan secara langsung menerusi rangkaian rasmi LBR.MY di youtube.com, bermula dengan pertemuan Zon Timur di antara Kemaman dan Pasir Puteh pada Jumaat.

Masuk minggu keempat, selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut pada perlawanan sebelum ini, pasukan Kangar mengidam mata penuh pada pertembungan menentang Padang Terap di Padang SMK Kuala Nerang.

Berada dalam Kumpulan 2 bersama Kuala Muda, Padang Serai dan Pendang pastinya pertembungan di tempat lawan bukanlah tugas mudah buat anak didik Azamri Zali selepas menang ke atas Padang Serai (3-0) dan Kuala Muda (3-0).

Bagi Azamri, rentetan kemenangan perlu diraih untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan kerana percaya pasukan lain juga menyimpan hasrat yang sama.

“Kami hadir di tempat lawan dengan motivasi dua kemenangan berturut-turut, sudah pasti aksi menentang Padang Terap seharusnya berakhir dengan tiga mata diraih,” katanya.

Sementara itu ketua jurulatih Kubang Pasu, Shaharoni Che Ahmad, percaya bertandang di Padang C, Kompleks Sukan LADA, Langkawi bukanlah tugas mudah.

.“Selaku tuan rumah pastinya mereka ingin meraih tiga mata, namun pemain telah diingatkan agar fokus dari mula hingga wisel penamat dibunyikan.

“Kami bersedia sepenuhnya dan mengharapkan pemain tidak melakukan kesilapan yang membuka ruang buat lawan menjaringkan gol,” katanya.

Pada perlawanan minggu lalu, Kubang Pasu mencatatkan kemenangan besar 4-1 menewaskan Padang Besar di tempat lawan.

Dalam Zon Tengah 1, Klang kembali beraksi selepas berehat minggu lalu, manakala

Pengendali Lipis FA, Shahril Faizal Ahmad Shariffudin enggan anak didiknya leka dengan kemenangan minggu lalu.

Lipis melayan kunjungan Bera dalam saingan Kumpulan 2 Zon Tengah.

Baginya kemenangan tiga mata pertama di tempat lawan begitu bermakna dan perlu diteruskan pada aksi 90 minit di Padang Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Lipis.

Jelasnya, pemain tidak terlalu diberikan tekanan untuk aksi di laman sendiri namun itu bukanlah alasan untuk tidak mempamerkan aksi konsisten.

“Pemain tidak boleh leka dengan tiga mata dikutip minggu lalu, dalam bola sepak pastinya ada tekanan dan inilah yang bakal kami hadapi. Lihat sahaja minggu lepas kami gagal beraksi sebagaimana dikehendaki pada separuh masa pertama, sebelum bangkit pada aksi kedua.

“Situasi ini tidak seharusnya berlaku di laman sendiri dan saya percaya pemain akan memberikan persembahan terbaik,” jelasnya.

Mengulas barisan pemain yang bakal diturunkan, bekas pertahanan skuad kebangsaan ini berkata, terdapat sedikit rombakan memandangkan beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Ahad nanti pula Klang akan kembali beraksi menyambut kunjungan Kuantan.

Dalam Zon Borneo 1 (Sabah), aksi minggu keempat diteruskan dengan Tuaran menentang Kota Belud di Padang IPG Kent, Tuaran manakala Kudat melayan kunjungan Kota Marudu dalam Kumpulan 1 pada Sabtu.

Ahad pula aksi Kumpulan 2 menyaksikan Penampang menerima kedantangan Papar manakala Wilayah Persekutuan Labuan bertandang ke Sipitang.

Zon Borneo 1 yang mengumpulkan 16 pasukan seluruh Sabah yang dibahagikan kepada empat kumpulan harus ada tarikan tersendiri.

Dilihat sebagai negeri yang konsisten melahirkan pemain berkaliber seperti Hassan Sani, James Wong, Matlan Marjan, Burhan Ajui dan Suharmin Yusof, bakat terpendam di negeri di bawah bayu harus dicungkil menerusi LBR.

Papar misalnya dibimbing oleh bekas bek Sabah, Jainin Tinin dan mara ke peringkat nasional musim pertama dahulu.

Artikel berkaitan

Leave a Reply