Kuwait uji skuad Harimau Malaya

Stuart memaklumkan perlawanan pemanas badan berkenaan, merupakan sebahagian persiapan skuad kebangsaan sebelum berhadapan Thailand.

Pasukan ranking ke-147 dunia, Kuwait, sah bakal menguji skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada awal Jun nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, perlawanan pemanas badan berkenaan, merupakan sebahagian persiapan skuad kebangsaan sebelum berhadapan Thailand pada aksi Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bangkok pada 9 Jun depan.

“Kami baharu sahaja mendapat pengesahan daripada Kuwait, yang bersetuju untuk mengadakan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan pada Jun nanti, dan saya melihat ia satu peluang terbaik kepada jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menilai persediaan pemain kita, sebelum berlepas ke Bangkok nanti,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Stuart sebelum ini mengesahkan juara Piala Negara Teluk 2019, Bahrain telah bersetuju untuk mengadakan aksi pemanas badan dengan Malaysia di Bukit Jalil pada awal Mac ini.

Perlawanan berkenaan merupakan medan persediaan skuad Harimau Malaya, sebelum berhadapan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Dunia 2023, di tempat lawan pada 26 Mac ini.

Skuad kebangsaan akan meneruskan aksi pusingan kelayakan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian.

Malaysia kini menduduki tempat kedua Kumpulan G pusingan kelayakan, dengan kutipan sembilan mata selepas lima perlawanan, dan mereka berpeluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, sekiranya mencatat keputusan positif dalam baki tiga perlawanan.

Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007, selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain, iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam.– BERNAMA–

Artikel berkaitan

Leave a Reply