KHM siap sedia

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) kini dalam fasa persediaan terakhir bagi memastikan Skuad Senior Lelaki serta Skuad Remaja Lelaki dan Wanita negara dapat memulakan sesi latihan di padang buat kali pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada minggu hadapan.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal memaklumkan, selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara (ISN) mesyuarat bersama pengurusan serta kejurulatihan KHM telah diadakan.

“Susulan daripada mesyuarat hari ini, Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, Timbalan Presiden KHM, Prof. Dato’ Dr. Shamala Subramaniam, Dato’ Ahmad Najmi serta Cik Norfaraha telah mengadakan mesyuarat bersama barisan kejurulatihan skuad senior lelaki dan remaja lelaki serta wanita.

“Semua jurulatih telah diberikan maklumat terperinci perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh pemain serta barisan kejurulatihan dan pegawai yang terlibat sepanjang sesi latihan yang akan bermula pada minggu hadapan,” tegasnya.

Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak bersama Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KHM, Dr. Rajasingam Balasingan serta Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik Norfaraha Hashim telah mengadakan satu perjumpaan bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) juga wakil Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan pandangan lebih terperinci mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh latihan berjalan.

Dalam mesyuarat yang sama, Dato’ Ahmad Najmi telah membentangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan oleh KHM dan perlu dipatuhi oleh semua pemain sepanjang tempoh latihan tersebut.

Artikel berkaitan

Leave a Reply