Josiah Ng wira Malaysia, bukan pengkhianat – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menepis tanggapan sesetengah pihak yang melabelkan bekas pelumba negara, Josiah Ng sebagai seorang pengkhianat setelah tamat acara lumba basikal keirin Sukan Asia 2018 di Jakarta, Jumaat lepas.

Kritikan netizen terhadap Josiah hadir selepas pelumba keirin Thailand, Jai Angsuthasawit muncul juara acara tersebut menewaskan pelumba negara, Azizulhasni Awang yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa. Manakala pelumba Jepun, Yudai Nitta mengisi slot pingat perak.

Menurut kenyataan peribadi di Facebook Syed Saddiq, Josiah bukan seorang pengkhianat dan akan sentiasa dijulang sebagai wira negara. Selain itu, ucapan bangga turut dilaungkan kepada Josiah kerana berjaya melahirkan seorang juara lumba basikal.

Catatan tersebut merupakan kenyataan balas Syed Saddiq selepas Josiah dikatakan terkejut dilabel sebagai seorang pengkhianat dalam satu laporan akhbar bahasa Inggeris.

Josiah, 38, yang kini merupakan jurulatih skuad lumba basikal Thailand sejak tujuh bulan yang lepas bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan Malaysia satu hari nanti.

Menurut rekod, Josiah telah meraih pelbagai kejayaan di kejohanan antarabangsa bagi acara keirin, termasuk pingat perak di Sukan Asia 2006 di Doha dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman

Artikel berkaitan

Leave a Reply