Firhan Mantin La Coruna mudah benam Negeri Sembilan United

SEREMBAN: Empat gol daripada Amirul Afiq Abdul Majid dan hatrik daripada Mohd Ridzuan Mohd Latif serta masing-masing satu daripada Ahmad Kamal Zainal dan Muhammad Ridhwan Dulfakar sudah cukup untuk Firhan Mantin La Coruna memenuhi reputasi selaku pasukan pilihan dalam aksi minggu kedua Liga Bola Sepak Urban (UFL) yang berlangsung di PBNS Rhino Arena, Seremban baru-baru ini.

Jurang ketara dapat disaksikan dalam babak pertama dan ia dimanfaatkan Firhan Mantin La Coruna untuk meledak lima gol dalam tempoh 40 minit pertama perlawanan. Negeri Sembilan United cuba untuk bangkit menerusi dua jaringan penyerang, Ibrahim Daniel namun ia tidak mampu menyekat kemaraan pasukan lawan pada separuh masa kedua.

Presiden Negeri Sembilan United, Faliq Firdaus menyifatkan kekalahan besar di tangan Firhan Mantin La Coruna kendalian jurulatih, Nizak Ali Fakir Mohamad bukan satu perkara yang mengejutkan, malah harus diambil iktibar agar dapat diperbaiki pada masa hadapan.

“Pasukan ini (Negeri Sembilan United) masih baru dalam kancah bola sepak dan sedang mencari tapak untuk bersaing antara pasukan terbaik di negeri ini. Perkara sebegini harus dilalui pada satu peringkat, suka atau tidak dan harus diambil secara positif”, ujar beliau.

Sementara itu, Loopers FC mengekori rapat penghulu liga hasil kemenangan ke atas Kelab Telekom Malaysia Negeri Sembilan menerusi jaringan Saidi Amri Abdul Ja Bar pada minit ke-14 dan Mohd Aizuddin Mislan pada minit ke-65.

Perlawanan terakhir minggu kedua UFL menyaksikan aksi sulung Ainsdale FC menentang Starmark FC berakhir dengan kemenangan apabila Muhammad Izzul Haziq Abdul Hakim meledak masuk gol pada minit ke-15 dan 27 disusuli jaringan ketiga oleh Abdullah Omar. Pihak lawan cuba membalas pada minit ke-57 menerusi Mohamad Rizal Yusof namun tidak berjaya membawa kebangkitan kepada Starmark FC.

Artikel berkaitan

Leave a Reply