FBT penaja platinum Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017

PUTRAJAYA: Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Malaysian Organising Committee, MASOC) berjaya meraih satu lagi penajaan apabila Football Thai Factory Sporting Goods Co. Ltd (FBT), yang telah dari dahulu lagi menyokong temasya sukan ini, bersetuju menjadi penaja Platinum untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017) dalam majlis yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

Kerjasama ini dimeterai dengan majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali menandatangani perjanjian itu bagi pihak MASOC manakala FBT pula diwakili oleh Presiden, Kamol Chokephaibulkit.

Sebagai penaja platinum, sumbangan FBT bernilai lebih dari RM7.5 juta dalam bentuk pakaian dan alatan sukan untuk penganjuran KL2017 yang akan digunakan oleh semua yang terlibat di setiap peringkat termasuklah pakaian untuk lebih daripada 20,000 sukarelawan dan kakitangan semasa temasya sukan itu nanti.

Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa penajaan daripada syarikat Thailand seperti FBT merupakan satu langkah yang tepat, sejajar dengan temasya sukan ini iaitu Bangkit Bersama, yang diharapkan mampu menjadi aspirasi, mendorong dan membangkit pertalian emosi di kalangan semua peserta dan penonton.

Beliau turut mengucapkan tahniah di atas keputusan FBT untuk sama-sama melibatkan diri dalam temasya sukan kali ini selain menyatakan kepercayaan bahawa sebagai satu produk yang telah lama bertapak di pasaran antarabangsa, penajaan FBT untuk Kuala Lumpur 2017 pastinya mampu mengukuhkan kedudukan jenama mereka dengan lebih lagi.

“Ini semestinya merupakan satu peluang keemasan bagi syarikat ini untuk mempromosikan jenamanya kepada lebih 622 juta penduduk di rantau ini yang secara kolektifnya membentuk ekonomi ketiga terbesar di Asia dan yang ketujuh terbesar di dunia”, katanya lagi.

Sukan SEA akan diadakan pada 19 hingga 31 Ogos 2017 manakala Sukan Para ASEAN pula pada 17 hingga 23 September 2017.

Artikel berkaitan

Leave a Reply