FAM-PDRM sepakat

KUNJUNGAN hormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas Persatuan Bolasepak PDRM (PDRM FA) berakhir dengan nada positif apabila kedua-dua pihak membincangkan pelbagai aspek pengurusan termasuk kelestarian PDRM dalam saingan tempatan serta kekangan kewangan sedia ada.

Dalam kunjungan yang diadakan di Pulapol itu, PDRM mencadangkan penstrukturan pembayaran secara berkala untuk gaji tertunggak kepada pemain dan pegawai serta pihak ketiga sebagai usaha mereka untuk memenuhi syarat pelesenan kelab FAM.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan pertemuan yang juga kunjungan hormat pertama untuk tahun 2020 ini sebagai pembuka mata kedua-dua pihak.

“FAM menyambut baik cadangan itu namun mengingatkan pasukan untuk membuat perjanjian bertulis bersama pemain ataupun pegawai terbabit yang bersetuju dibayar secara ansuran bagi mengelakkan sebarang masalah,” tegasnya.

Hamidin menerima cenderamata dari Mazlan pada kunjungan tersebut.

Hadir sama Presiden Persatuan Bolasepak PDRM yang juga Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor bersama barisan exco FAM dan juga barisan exco PDRM.

Kunjungan hormat ke atas PDRM adalah yang kelapan selepas FAM ke Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM),Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Antara perkara lain yang dibincangkan ialah isu semasa berkaitan bola sepak tempatan serta usahasama antara FAM dengan PDRM khususnya dan kemas kini Peraturan Pelesenan Kelab FAM 2020.

Hamidin kemudian menambah, kunjungan hormat ini selari dengan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) yang dilancarkan selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 F:30.

“Kami di FAM sememangnya sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan.

“Menjadi hasrat dan cita-cita FAM untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan ahli gabungan. FAM turut menyeru penglibatan anggota polis wanita dalam sukan bola sepak mahupun futsal dipertingkatkan PDRM bagi memastikan penglibatan pemain wanita anggota polis terus konsisten,” katanya.

Bagi Mazlan pula, PDRM FA adalah pasukan yang kerdil beroperasi dengan sumber kewangan yang kecil.

“Kami ingin curahkan bakti dan sumbangkan idea dalam memastikan kelangsungan PDRM dalam Liga Malaysia terutama dalam sukan bola sepak tanah air khususnya,”ujarnya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply