Dollah cabar pemain

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mahu melihat lebih ramai pemain tempatan mampu mengikut jejak langkah bekas pemainnya, Norshahrul Idlan Talaha, beraksi di luar negara seperti di Liga Thailand.

Beliau mengakui, kualiti yang ada pada pemain tempatan selain mutu liga di negara ini semakin meningkat bakal menjadi faktor pendorong untuk pasukan luar mula mengintai pemain negara ini.

Tambah bekas pengendali Harimau Malaya itu, penghijrahan pemain tempatan ke luar negara akan membantu kepada kekuatan skuad kebangsaan untuk jangka masa panjang.

“Kalau boleh, saya mahu lihat lebih ramai pemain kita dari liga kita ini keluar dan mungkin satu hari nanti boleh main di Jepun kerana semua orang mahu tengok pemain-pemain kita beraksi di tahap lebih tinggi.

“ Semua orang tahu kita masih ketinggalan jauh dengan kuasa besar Asia seperti Jepun, Korea Selatan malah Arab Saudi dan kalau boleh tidak salah pemain kita keluar bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

“ Di samping kita bergantung dan fokuskan kepada pemain naturalisasi, kita juga kena ingat kepada perkembangan pemain tempatan dan mahu melihat mereka ke tahap yang kita inginkan, ” ujarnya.

Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo telah memilih ke juara Thai League 2, BG Pathum United, pada musim ini dengan kontrak selama satu tahun.

Penyerang kebangsaan yang berusia 34 tahun itu mengikut jejak langkah seorang lagi pemain Bawah 23 tahun, Dominic Tan yang kini bersama Police Tero FC manakala seorang lagi pemain tempatan, Zafuan Azeman bersama kelab Divisyen Tiga, Ang Thong FC.

Mengenai persiapan Pahang musim ini, Dollah mengakui skuad Tok Gajah akan menampilkan kelainan kerana akan mempertaruhkan ramai pemain muda yang dinaikkan dari skuad Piala Presiden.

Antaranya Nik Sharif Hassefy, Nur Izzat Che Awang dan Hasnul Zaim yang dijangka menjadi bakat muda taruhan terbaharu menampung ketiadaan beberapa pemain senior yang telah berhijrah seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Zubir Azmi dan Norshahrul.

Bekas pemain Kuala Lumpur, Hardee Shamsuri juga menjadi pilihan Dollah bagi memperkuatkan barisan tengah Pahang selepas kehilangan ramai pemain di posisi terbabit seperti Safuwan Baharudin dan Salomon Raj.

“ Rata-rata pemain baharu ini adalah di Bawah 23 tahun dan untuk peringkat awal ini saya rasa mereka sangat selesa untuk beraksi dengan senior-senior.

“ Cuma saya harapkan mereka boleh tingkatkan lagi tahap permainan mereka bagi membentuk keserasian yang lebih baik dengan pemain senior sedia ada agar kami mampu beri cabaran lebih sengit kepada pasukan lain, ” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply