AMD B-14 diundi bersama Chonburi FC, Phnom Penh Crown FC dan Bangkok United

BANGKOK: Skuad elit Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari bawah 14 tahun (AMD B-14) yang berpangkalan di Gambang, berdepan cabaran serantau apabila diundi dalam Kumpulan B, Piala Juara-Juara Antarabangsa CP Meiji B-14 2017 di Buriram, Thailand pada 8 hingga 11 November depan.

Jurulatih AMD B-14, Armi Shariff diberi tanggungjawab memimpin skuad elit tersebut berdepan saingan Chonburi FC (Thailand), Phnom Penh Crown FC (Kemboja), dan Bangkok United (Thailand). Sementara itu, tuan rumah Buriram United (Thailand), diundi bersama-sama skuad remaja kebangsaan Laos, Samutsongkhram FC (Thailand), dan wakil sulung dari Jepun, Jubilo Iwata di dalam Kumpulan A.

Menurut beliau, kejohanan anjuran Buriram United ini merupakan platfom yang terbaik buat anak-anak buahnya bagi mendapatkan pendedahan antarabangsa di samping perlawanan kompetitif yang kini sedang berlangsung.

“Pendedahan sebegini amat kami alu-alukan dan semestinya akan dimanfaatkan oleh pemain-pemain kita. Peluang menentang kelab-kelab Thailand yang sememangnya dikenali di peringkat pembangunan seperti Chonburi FC dan Buriram United juga dapat memberikan gambaran mengenai tahap permainan kita.

“Sekarang ini dua skuad elit B-14 kita akan beraksi di dalam perlawanan akhir Liga Kementerian Pendidikan Malaysia dan selepas itu skuad pertama akan berlepas ke Qatar bagi siri perlawanan persahabatan di sana manakala skuad kedua akan turut serta di dalam kejohanan (Piala Juara-Juara Antarabangsa CP Meiji B-14) ini. Saya fikir pendedahan antarabangsa yang direncanakan pihak pengurusan ini bagus setelah mengharungi musim yang kompetitif,” ujarnya ketika ditemui di sidang media kejohanan di Bangkok, Thailand, hari ini.

AMD merupakan pusat latihan berprestasi tinggi di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang menghimpunkan bakat-bakat terbaik di dalam negara dari umur 13 hingga 17 tahun dan kini berada di bawah pemantauan Pengarah, Lim Teong Kim yang juga merupakan ketua jurulatih skuad B-16 negara.

Piala Juara-Juara Antarabangsa CP Meiji B-14 2017 kini memasuki tahun penganjuran yang kedua selepas Oktober tahun lepas, yang menyaksikan kelangsungan kejohanan tersebut terpaksa diberhentikan serta merta bagi menghormati kemangkatan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016.

Artikel berkaitan

Leave a Reply