Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) B-14 wakili Malaysia ke Piala Wuhan, China

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Malaysia sekali lagi telah diundang untuk turut serta di dalam kejohanan bola sepak remaja antarabangsa, Piala Wuhan bawah 14 tahun untuk tahun kedua penganjurannya di Wuhan, China.

Bermula dari 4 hingga 11 September 2018, skuad remaja kebangsaan akan diwakili oleh pemain-pemain daripada Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah 14 tahun dan dipimpin ketua jurulatih, Osmera Omaro.

Menurut Osmera, beliau yakin dengan kemampuan anak buahnya memberi cabaran kepada seteru-seteru Asia yang lain walaupun mengakui persediaan kompetitif di peringkat tempatan menjelang kejohanan tersebut belum mencapai tahap yang diinginkan.

“Pemain-pemain kita akan bersaing dengan ‘sama rata’ menentang pasukan-pasukan lain, dan tidak akan bermain secara defensif selain mahukan mereka dapat memperoleh pengalaman berharga bermain di kejohanan ini.

Beliau turut menambah:

“Walaupun persiapan pasukan menjelang kejohanan ini hanya dapat diperkemaskan melalui beberapa perlawanan persahabatan, namun saya yakin para pemain mampu pamer kesegaran yang diinginkan dalam aksi mereka di China, kelak.”

Malaysia diundi di dalam Kumpulan B bersama pasukan negara tuan rumah China, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sementara Kumpulan A dihuni oleh Jepun, Thailand, Vietnam dan Uzbekistan.

Malaysia akan menentang Korea Selatan (4 September), China PR (5 September) dan UAE (7 September) bagi saingan peringkat kumpulan.

Piala Wuhan yang kini memasuki edisi kedua merupakan kejohanan peringkat umur jemputan antarabangsa membabitkan pasukan-pasukan remaja kebangsaan dan dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Wuhan di China. Edisi pertama kejohanan pada tahun lepas telah menyaksikan skuad negara diwakili oleh pasukan AMD bawah 13 tahun dan mendapat tempat keenam keseluruhan.

Artikel berkaitan

Leave a Reply