Lapan pelumba basikal terbaik sertai Jelajah Eropah CIMBF-JCM

KUALA LUMPUR: Seramai lapan pelumba basikal memulakan jelajah ke Belanda dan Belgium hari ini sehingga 8 Ogos membabitkan para pelumba yang terpilih daripada siri-siri kejohanan lebuhraya anjuran Yayasan CIMB dan Junior Cycling Malaysia yang telah bermula dari Januari tahun ini.

Empat orang pelumba bagi kategori bawah 17 tahun dan empat pelumba kategori bawah 19 tahun berlepas ke Amsterdam bagi mengharungi jelajah dan kejohanan sekitar Belanda dan Belgium selama lapan belas hari sebagai usaha pendedahan awal kepada pelumba-pelumba remaja terhadap saingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Menurut jurulatih skuad CIMBF-JCM, Firdaus Daud, pendedahan kali ini merupakan kumpulan ketiga yang dihantar ke Eropah selepas kumpulan pertama dan kedua masing-maisng pada tahun 2017 dan 2018 dalam usaha membawa budaya perlumbaan di Eropah ke tanah air.

“Kali pertama kita hantar pelumba-pelumba ke Eropah pada tahun 2017 tetapi mungkin impaknya kurang tetapi selepas kali kedua jelajah tahun lalu, kami lihat kualiti perlumbaan semakin berubah kerana budaya perlumbaan di Eropah telah merebak ke Malaysia. Jadi, kami yakin untuk kali ketiga ini sudah tentu ianya lebih bermutu dan seronok untuk ditonton.

“Kami telah susun jadual perlumbaan yang disertai supaya pelumba tidak terkejut dengan cara perlumbaan di sana. Daripada sepuluh perlumbaan, tiga daripadanya merupakan acara berprestij dan dikenali sebagai ‘Tour de France Post Race’ kerana perlumbaan ini bakal disertai pelumba-pelumba dari Tour de France. Kami yakin ramai pelumba-pelumba berkualiti di Eropah akan turut serta dalam perlumbaan ini seperti tahun-tahun lalu,” tambah jurulatih ini ketika ditemui.

Jelajah kali ini turut diserikan dengan penajaan kit perlumbaan dari Pro Apparel sebagai Rakan Pakaian Rasmi Junior Cycling Malaysia, dengan tajaan daripada Pro Apparel dengan kontrak setahun berbentuk pakaian seperti jersi, bib, t-shirt, topi dan wind breaker.

Senarai pelumba yang terpilih sertai Jelajah Eropah CIMBF-JCM:

Kategori Bawah 17 Tahun:
Muhammad Firdaus bin Surana (Perlis)
Muhammad Afiq Iskandar bin Hasyim (Pelapis Kebangsaan)
Muhammad Faris Irfan bin Shuhaimi (Negeri Sembilan)
Muhammad Azrul bin Sharuddin (Pahang)

Kategori Bawah 19 Tahun:
Mior Muhammad Hazwan bin Hamzah (Perak)
Hairul Hilmie bin M Rizal (Mersing)
Chan Jian Le (Johor)
Mohd Faisal Izuddin bin Ahmad Joyo (Terengganu)

Artikel berkaitan

Leave a Reply