40 pemain, jurulatih dan pegawai Hockademy berpeluang dapatkan sijil OTHM Britain

Megat D. Shahriman Zaharudin (tiga, kanan) bersama Pengarah Urusan TGCC PTL Datuk NMT Murthy (tiga, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Muhamad Fariz (dua, kanan) dengan Ahmad Tajudin (dua, kiri) selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hockademy PPSHKL dan TGCC PLT di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

SERAMAI 40 pemain, jurulatih dan pegawai pasukan hoki Kuala Lumpur diberi peluang untuk mendapatkan sijil dalam bidang sukan dan rekreasi melalui kerjasama antara Hockademy dan TGCC PLT.

TGCC PLT ialah pusat yang diberi pentauliahan oleh badan penganugerahan persijilan daripada Britian, OTHM, yang diiktiraf oleh badan bukan kerajaan yang mengawal selia pensijilan dan peperiksaan di England, Office of the Qualification and Examination Regulation (Ofqual).

Presiden Persatuan Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur (PPSHKL), Muhamad Fariz Mustafa berkata sijil sama taraf dengan diploma atau ijazah yang diiktiraf OTHM itu ditawarkan kepada pemain dan pegawai Hockademy yang telah lama bergiat aktif dalam sukan tanpa perlu memasuki kelas.

“Pensijilan ini adalah melalui proses ‘Recognition of Prior Learning’ (RPL) ataupun Pentauliahan Pengiktirafan Terdahulu dengan seseorang diiktiraf pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang dimiliki melalui pengalaman kerja.

“Setiap pemohon hanya akan dianugerahkan sijil tersebut sekiranya melepasi proses saringan seperti sesi temuduga dalam talian selain berjaya mengemukakan bahan bukti seperti sijil dan dokumen yang lengkap kepada OTHM,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hockademy, di bawah naungan PPSHKL diwakili Muhamad Fariz dan TGCC PLT, diwakili pengerusinya, Datuk Ahmad Tajudin Jab, dan disaksikan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Muhamad Fariz berkata melalui pensijilan itu, beliau percaya ia mampu menaik taraf kelayakan atlet yang telah berkhidmat untuk negeri mahupun negara di samping meningkatkan imej mereka menerusi penganugerahan kelayakan kemahiran dalam bidang sukan.

Datuk Ahmad Tajudin

Sementara itu, Ahmad Tajudin berkata perjanjian tersebut merupakan inisiatif pertama di Malaysia dalam bidang sukan dan sebelum ini mereka hanya memfokuskan kepada bekas lulusan kolej profesional.

“Dulu fokus kami hanya kepada kemahiran oleh lulusan kolej profesional. Jadi sekarang kami terarah kepada atlet dan bidang sukan bagi menghargai jasa mereka dalam mengharumkan nama negara.

“Tidak semua yang memohon boleh dapat sijil ini. Kita akan bina portfolio secara individu dan buat penilaian terlebih dahulu berdasarkan sijil dan pengalaman mereka. Kita akan tengok tahap mana sijil yang akan dianugerahkan kepada mereka,” katanya.

OTHM menyediakan pensijilan pada peringkat berikut iaitu OTHM Level 3 Certicate (peringkat asas), OTHM Level 4 Diploma (setaraf tahun pertama program ijazah), OTHM Level 5 Diploma (setaraf tahun kedua program ijazah), OTHM Level 6 Diploma (setaraf tahun akhir program ijazah) dan OTHM Level 7 Diploma (setaraf program Sarjana).

Artikel berkaitan

Leave a Reply